Entry: beberapa jam di sayong lembah Sunday, June 07, 2009



 

Kak Ila (kiri) sedang menerangkan cara penghasilan labu sayong pada saya, Lin & Kak Yatie. (Foto: Ismadi)

Saya singgah di Kampung Sayong Lembah beberapa minggu lalu selepas habis tugasan di Kuala Kangsar. Berjumpa kakak angkat Achiek, Kak Ila; pengusaha labu sayong di sana. Melihat langkah demi langkah penghasilan labu yang disebut orang; 'labu sayong'. 

 

Saya dan Lin terlebih teruja tetapi saya berjaya juga kawal nafsu membeli. Saya pernah ada labu air warna hitam tetapi suatu hari pecah ketika saya angkat tangkainya yang ramping. Jadi, saya beli sebuah labu air berwarna hitam untuk mengganti labu air yang pecah beberapa tahun lepas.

 

Menarik melihat langkah demi langkah yang diterangkan Kak Ila dalam menghasilkan labu. Tanah liat (yang khas dibeli, bukan main ambil saja dari Sungai Perak, kata Kak Ila) dibancuh dan dituang ke dalam acuan. Acuannya dihasilkan daripada simen (yang digunakan untuk simen orang yang patah anggota tubuh, saya lupa istilah sebenarnya).

 

Selepas keras, labu dikeluarkan dan digunakan mesin khas untuk membentuk labu (jadi ramping dan sebagainya). Langkah ini perlukan latihan yang akan jadikan kerja makin sempurna. Seperti kata Kak Ila, ketika mula-mula beliau buat kerja ini dulu, labu asyik terpelanting, rosak dan pelbagai lagi.

 

Selepas itu diukir pula lakaran pada labu. Yang ini saya paling suka. Seni betul orang yang pandai membuatnya. Kak Ila beri saya peluang mencuba, masya-Allah, nampak senang, tetapi sebenarnya tidak semudah yang dilihat.

 

Usai mengukir, dijemur sehingga kering, kemudian barulah dibakar. Untuk dapatkan labu sayong berwarna hitam, selepas dibakar, labu akan dimasukkan ke dalam sekam; barulah jadi hitam.

 

Begitulah lebih kurang; mungkin ada langkah yang tertinggal. Saya pun tak berapa ingat sangat. Tetapi rasa-rasanya saya nak kembali ke Kampung Sayong Lembah, untuk mendalami lebih lanjut proses pembuatan labu  ini. Mungkin untuk hasilkan satu karya kreatif seperti novel Bukan Yang Pertama…

 

Bila ya?

 

 

 

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments